[LAPORAN KHAS] Pekebun sayur Cameron Highlands rugi RM1 juta sehari

 Sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands, Pahang yang bernilai RM1.4 bilion setahun kini terancam angkara wabak Covid-19.
Sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands, Pahang yang bernilai RM1.4 bilion setahun kini terancam angkara wabak Covid-19.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands, Pahang yang bernilai RM1.4 bilion setahun kini terancam angkara wabak Covid-19.

Cameron Highlands yang dikenali sebagai syurga agrotani rupakan pembekal utama sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar ke seluruh negara.

Tanah tinggi subur itu dengan kawasan pertanian sayur-sayuran seluas 3,988 hektar yang bersamaan dengan kira-kira 9,854 padang bola sepak menghasilkan lebih 800 tan metrik pengeluaran sayur-sayuran sehari.

Sebahagian besar sayur-sayuran turun dari kawasan tanah tinggi yang sejuk itu membelah jalan raya dan lebuh raya menuju ke pasar-pasar borong utama di seluruh negara, termasuk Singapura.

Malah, kira-kira 160 tan sayur-sayuran turut dihantar melintasi Tambak Johor untuk pasaran warga Singapura setiap hari.

Namun, itu kisah sewaktu dunia dan Malaysia menjalani kehidupan normal.

Wabak Covid-19 telah mengubah 360 darjah kehidupan kita semua tidak terkecuali di tanah tinggi Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Nilai sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands setahun.
Nilai sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands setahun.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong, kesan ekonomi yang dibadai Covid-19 kini mencengkam lebih 2,300 pekebun sayuran di Cameron Highlands.

Katanya, pekebun-pekebun sayur di tanah tinggi itu mahu tidak mahu memang terpaksa menuai sayur-sayuran di ladang kerana jika tidak, sayur seperti kubis, tomato, sawi dan pak choi akan tua begitu sahaja.

Tidak laku

Tapi masalahnya, kongsi Ee Mong, permintaan di pasaran jatuh dengan teruk sekali apabila banyak pasar ditutup atau dikurangkan pekerja, kantin atau premis makanan tidak beroperasi dan orang ramai pun perlu duduk di rumah untuk mematuhi PKP.

Akui Ee Mong, pendek kata, sayur sudah tidak laku dan tidak boleh dipasarkan. Pekebun mengeluarkan 800 tan metrik atau 800,000 kilogram sayur-sayuran sehari, namun hanya 30 peratus mampu dijual di pasaran.

“Kita kena tuai dan petik semua sayur-sayuran di ladang. Kalau buah kubis dibiarkan begitu sahaja, dia akan kembang, kalau buah tomato tak dipetik dia akan merekah di pokok selepas beberapa hari.

“Sekarang Pasar Borong Selayang, contohnya, telah mengehadkan bilangan pekerja. Jadi kebanyakan mereka menutup operasi kerana kekurangan tenaga pekerja.

“Ada beberapa pilihan sahaja kita ada sekarang ini iaitu petik dan cuba jual, petik dan dermakan, petik dan lupuskan atau membiarkan sayur rosak begitu sahaja di ladang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Lokasi Cameron Highlands di Pahang.
Lokasi Cameron Highlands di Pahang.

Ee Mong yang sudah 54 tahun menjadi pekebun di tanah tinggi itu berkata, kerugian yang disebabkan oleh wabak Covid-19 kini sudah mencecah jutaan ringgit.

Akuinya, sejak 10 hari PKP dilaksanakan kira-kira 70 peratus atau lebih 500 tan metrik sayur-sayuran tidak dapat dijual setiap hari.

“Kalau dulu hampir 60 buah lori dengan muatan 15 tan metrik digerakkan untuk memasarkan sayuran yang dituai setiap hari, tetapi sebaik bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya 10 lori dapat keluar.

“Secara anggarannya, sebuah lori sayuran bernilai kira-kira RM20,000. Jadi dalam sehari apabila 50 buah lori tidak boleh jalan, kami rugi RM1 juta sehari.

“Kalau 11 hari PKP, 2,300 pekebun sayur sudah kerugian RM11 juta,” katanya.

Ekoran kerugian yang dihadapi itu juga membuatkan pekebun di tanah tinggi kini berdepan kesukaran untuk membayar gaji pekerja ladang.

Dalam pada itu, menurut Ee Mong, biarpun berdepan dengan kerugian, kesemua pekebun mengambil inisiatif menyertai program khidmat sosial dengan membekalkan sayur-sayuran kepada rumah kebajikan, rumah anak yatim dan rumah orang tua secara percuma.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!